السلام عليكم

Assalamualaikum..
Welcome to SyedZainAbhar's page...
Please leave your comments
I will reply it as soon as possible

Total Pageviews

Saturday 25 June 2011

Hakikat Ikhlas

Firman ALLAH s.w.t:" Dan mereka itu tidak diperintah melainkan untuk menyembah ALLAH dengan penuh keikhlasan dan lurus(mengikut Syariat)"[Al-Bayyinah: 5], dan firmanNya:"Tidak sesekali daging itu sampai kepada ALLAH dan tidak juga darahnya,tetapi yang sampai kepadaNya adalah ketakwaan daripada kamu"[Al-Hajj: 37] Takwa di sini ditafsirkan oleh Ibn Abbas sebagai niat.

Daripada ayat di atas,jelaslah bagi kita sebagai umat Islam tentang kepentingan niat dalam beribadah. Ia juga merupakan syarat penerimaan sesuatu ibadah, di samping ibadah yang dilakukan itu mesti mengikut syariat.

Penekanan tentang niat yang ikhlas ni bukan sahaja banyak dalam al-Quran, bahkan ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w tatkala antara fungsi hadis adalah untuk menegaskan al-Quran.Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang cukup masyhur: "Sesungguhnya setiap amal itu beserta dengan niat,dan bagi setiap orang itu apa yang diniatkan, maka sesiapa yang berhijrah kerana ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada ALLAH dan RasulNya, dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia agar dia dapat dunia itu atau kerana wanita yang diharapkan dapat berkahwin dengannya,maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dihijrahkan kepadanya"[Muttafaq 'alaih]
Hadis ini telah pun menjadi besar kedudukannya dalam agama dan merupakan salah satu hadis yang tertegak padanya asas ISLAM sehingga golongan salafussoleh dan pengikut mereka yang terdiri daripada golongan khalaf, suka untuk memulakan karya-karya mereka dengan menggunakan hadis ini, sebagai satu peringatan untuk membetulkan niat mereka dan para pembaca.

Diriwayatkan daripada al-Imam Abu Sa'id Abdurrahman bin Mahdi: "Sesiapa yang ingin memulakan karyanya, hendaklah dia memulakannya dengan hadis ini". Mereka memang suka untuk meletakkan hadis ini di awal karya mereka kerana besarnya manfaat sesuatu perkara itu apabila dilakukan dengan niat yang betul kerana mengharap redha ilahi.Ibn 'Abbas berkata, seseorang itu dijaga berdasarkan kadar niatnya.

Persoalannya,apakah hakikat ikhlas itu?? Maka di sini saya turut nukilkan kata-kata 'ulama dan hamba-hamba ALLAH yang sangat 'arif tentangNya. Diriwayatkan daripada al-Fudhail bin 'Iyadh: "Meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia adalah riya', melakukan amalan kerana manusia pula adalah syirik dan ikhlas itu adalah apabila ALLAH menyelamatkan engkau daripada keduanya". Berkata al-Imam al-Harith al-Muhasibiy: "Orang yang benar-benar ikhlas itu adalah orang yang tidak takut dikutuk agar hatinya itu bertambah baik, tidak suka manusia mengetahui amalan baiknya walaupun sebenar zarrah dan tidak pula benci apabila manusia mengetahui amalnya yang buruk". Daripada Huzaifah al-Mar'asyi: "Ikhlas itu adalah apabila sama perbuatan hamba itu sama ada zahir ataupun batin".


Al-Imam Abu Qasim al-Qusyairi berkata: "Ikhlas itu adalah mengkhaskan hak ALLAH untuk ditaati dari segi niat, iaitu dia mengharapkan dari ketaatannya itu hanyalah untuk merapatkan dirinya kepada ALLAH tanpa sesuatu yang lain. Tidak mengharapkan keredhaan makhluk,atau tempat yang mulia di sisi manusia, atau kerana sukakan pujian makhluk dan segala kehendak-kehendak lain selain daripada mendekatkan diri kepada ALLAH". Dinukilkan daripada Sahl bin Abdullah At-Tustari: "Terdapat rimbunan tafsiran ikhlas, maka tidak didapati selain ini;(ikhlas itu)apabila gerakannya dan senyapnya pada sendirian atau terang-terangan hanya kerana ALLAH, yang tidak dicampuri padanya  niat kerana seorang manusia pun mahupun nafsu dan tidak juga kerana dunia".


Ketika menyentuh soal ikhlas ini, Abu Ali ad-Daqqoq berkata: "Ikhlas: menjaga daripada pemerhatian manusia. Benar: menjaga dari mentaati nafsu,maka orang yang ikhlas itu tidak riya' dan orang yang benar itu tidak membangga diri". Daripada Zun Nun al-Misri: "3 tanda keikhlasan: 1.Apabila sama sahaja baginya pujian dan kejian manusia, 2.Tidak melihat amalannya itu sebagai satu amalan(tidak berkira-kira) dan 3.Mengharapkan ganjaran pahala di akhirat.


Perbahasan tentang ikhlas ini adalah sesuatu yang sangat panjang dan luas serta mencakupi segenap aspek kehidupan. Apabila kita mendalami falsafah ikhlas ini, kita akan mendapati sebenarnya dunia dan akhirat itu adalah dua perkara yang tidak mungkin terpisah. Tatkala semua perbuatan kita akan ditimbang atas neraca ALLAH yang maha 'adil dan teliti hisabNya. Oleh itu, tiada istilah pemisahan dunia dengan akhirat dalam ISLAM. Bahkan amal perbuatan kita yang dikatakan duniawi juga sebenarnya dapat disambungkan dengan akhirat menggunakan niat yang ikhlas dan soleh.

و قل ربّ زدني علما
-والله أعلم-



1 comment:

  1. buatlah sesuatu dengan ikhlas, nescaya tidak akan kecewa..

    ReplyDelete