"Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu" [Az-Zariyat: 56]
Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH atas nikmatNya yang tidak terhitung dan rahmatNya yang tidak kunjung padam. Sewajarnya kita panjatkan kesyukuran itu bukan hanya sekadar di lisan, bahkan juga menggambarkan kesyukuran kita itu pada setiap diam atau cakapnya kita, duduk mahupun berdiri, dan seluruh juzu' kehidupan kita selaku hamba ALLAH. Tidak layak bagi seorang hamba itu untuk mendabik dada mengatakan bahawa dirinya itu sudah cukup dengan amalan yang telah dilakukan. Bahkan, perkara tersebut adalah satu alamat jelas akan kurangnya keikhlasan dalam beribadah dan tidak 'arif terhadap ALLAH serta hak-hakNya.
Antara perkara yang perlu diperhatikan bagi yang mengejar keredhaanNya adalah dia perlulah mengamalkan sesuatu amalan yang telah sampai kepadanya walaupun hanya sekali. Hal ini supaya dia kelak akan tergolong dalam golongan yang beramal dengan amalan tersebut. Sebagai contoh, seseorang yang berpuasa akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan, solat malam dapat menerangi kubur seseorang. Maka, bagi sesiapa yang telah sampai perkara tersebut kepadanya, hendaklah dia amalkannya, kerana mengharapkan keredhaan ALLAH padanya. Nabi s.a.w telah bersabda: "Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah semampu kamu" [Muttafaq 'alaih]
Berkata 'ulama dalam bidang hadis dan fiqh, boleh beramal dan disukai untuk beramal dengan fadhail a'mal, mengambil motivasi untuk beramal daripada hadis yang dho'if selagi mana ia bukan hadis yang maudhu'(palsu). Adapun dalam hal-hal berkaitan dengan hukum-hukum seperti halal, haram, jual beli, nikah, talak dan lain-lain, maka tidak boleh beramal melainkan dengan hadis-hadis yang sohih dan atau hasan. Namun, dikecualikan kalau hendak mengambil sifat wara' dan berhati-hati dalam sesuatu perkara, seperti penggunaan hadis dhoif dalam memakruhkan sebahagian jual beli atau nikah, cuma sebaik-baiknya tidaklah digunakan hadis-hadis tersebut, namun tidaklah haram.
Bagi yang berzikir, adalah disukai bagi mereka untuk duduk dalam halaqah mereka(beramai-ramai). Telah jelas dalil-dalil dalam hal ini, antaranya adalah hadis Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda: "Apabila kamu melintasi taman syurga, hendaklah kamu singgah, sahabat bertanya, apakah taman-taman syurga itu ya Rasulallah? Rasulullah menjawab, halaqah-halaqah zikir, maka sesungguhnya bagi ALLAH itu rombongan-rombongan para malaikat yang mencari halaqah-halaqah zikir, apabila mereka mendatanginya, mereka akan melebarkan sayap mereka" [alt-Tirmizhi, Hasan]
Dalam sohih Muslim juga ada menyatakan tentang sunnahnya majlis zikir ini,daripada Mu'awiyah r.a katanya: Telah keluar Nabi s.a.w kepada satu majlis sahabatnya di dalam masjid, maka bersabda Nabi,"Apa yang telah menyebabkan kamu berkumpul? Mereka menjawab, kami duduk untuk mengingati ALLAH, dan kami memujiNya atas apa hidayahNya yang telah menjadikan kami ISLAM dan mengurniakan ISLAM kepada kami, Nabi bersabda, adakah ALLAH yang telah menyebabkan kamu duduk beramai-ramai ini? Mereka menjawab,demi ALLAH, tidak kami duduk melainkan kerana ALLAH. Jawab Nabi s.a.w,adapun sesungguhnya aku tidak mendesak kamu untuk berbuat begini, akan tetapi Jibril a.s telah mendatangiku lalu mengkhabarkan kepadaku bahawa ALLAH berbangga dengan kamu di hadapan malaikat" [Muslim]
Terdapat lagi hadis sohih dalam sohih Muslim yang menyatakan sunnahnya berzikir secara beramai-ramai, daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a: Kedua-duanya menyaksikan Rasulullah bersabda, "Tidak duduk sesuatu kaum yang mengingati ALLAH melainkan malaikat menaungi mereka, rahmat menyeliputi mereka, turun ketenangan ke atas mereka dan ALLAH menyebutkan mereka di sisiNya" [Muslim]
akan bersambung...
No comments:
Post a Comment